Translate

Monday 20 May 2013

Ilmu matematik ajar manusia hidup lebih bersistem, efisien

"APA saiz kasut awak?"

“Berapa ketinggian awak?”
“Berapa berat badan awak?”


Demikian antara pertanyaan profesor matematik terhadap setiap orang ditemuinya dalam novel Yoko Ogawa, The Housekeeper and The Professor (2009). Bagi profesor yang mengalami penyakit memori singkat itu, hanya angka dan ungkapan matematik saja yang mudah difahami dan diingatinya. Selain itu, memang tidak diingati lebih 80 minit termasuk rupa, nama, sejarah, peristiwa, benda, foto apatah lagi konsep bukan matematik.

Maka sepanjang perbualan dalam novel itu, profesor itu hanya mengungkapkan semua hal membabitkan angka dan formula matematik. Menariknya, pembantu rumah dan anak lelakinya juga terpaksa ‘belajar’ matematik untuk membolehkan mereka berinteraksi dengan profesor itu.

Novel itu begitu bermakna kepada saya. Setiap kali saya dijadualkan bertemu tokoh matematik, saya akan membaca kembali novel itu untuk membolehkan saya mengungkapkan pemikiran saya secara matematik walaupun pada hakikatnya pengetahuan matematik saya sangat terbatas.

Sepanjang minggu ini, kampus UTM Johor Bahru dikunjungi sekumpulan ahli matematik diketuai Prof John Ockendon, Pengasas Oxford Centre for Collaborative Applied Mathmetics (OCCAM), Universiti Oxford. Selari dengan program kerjasama akademik antara Oxford dan UTM, mereka mengendalikan bengkel Mathematics in Industry Study Group (MISG) yang ditaja King Abdullah University of Science and Technology (KAUST), Arab Saudi.
MISG, jenama dikaitkan dengan Prof John Ockendon. Menerusi MISG, pihak industri tampil mengemukakan pelbagai isu dan masalah dari segi proses, kejuruteraan, pengurusan, perancangan dan sebagainya. Di satu pihak lain, ahli matematik khususnya di kalangan akademik akan berusaha memahami persoalan sebenar dan mengungkapkannya dalam formula matematik. Banyak kaedah boleh digunakan termasuk permodelan, simulasi dan sistem pakar yang akhirnya membolehkan pihak industri merancang dan menggunakan sumber secara lebih efektif serta efisien.

Sepanjang minggu ini lebih enam isu industri dibincangkan oleh lebih 100 ahli matematik dari pelbagai bidang dan institusi. Program yang turut ditaja MIMOS itu juga dijangka akan menjadi acara tahunan bagi membolehkan ahli matematik lebih menyerlah dalam konteks pembangunan industri.

Kita juga berharap kehadiran ramai tokoh matematik ternama ke Malaysia akan membuka lebih banyak ruang membudayakan matematik dalam konteks lebih luas dan produktif. Dalam konteks yang lebih tepat, matematik perlu dihayati untuk menjadikan kehidupan kita lebih bermakna, kreatif dan santai.

Ketika berbual dengan Prof Ockendon semasa melawat pejabatnya di Oxford tahun lalu, beliau memperihalkan peranan matematik dalam mengubah minda dan menyediakan landasan pemikiran lebih kukuh.

Ketika menikmati hidangan makan malam pada awal minggu ini di Johor Bharu, saya cuba berbual dengan penuh angka dan rumus matematik. Secara berjenaka saya menyebut dalam satu ucapan bahawa saya boleh meneka latar belakang akademik seseorang penutur ketika mereka memberi ucapan, khususnya ahli matematik.

Beliau bertanya apa kelainan ahli matematik? Jawab saya, gaya dan cara mereka berucap seperti persamaan terbitan (differential equation). Jawapan sedemikian memang mengundang perbahasan dan lebih banyak tanda tanya. Itu yang menggegarkan perbualan kami sepanjang dua jam mengadap hidangan makan malam!

Hal ini tidak jauh bezanya dengan perbualan profesor dan pembantu rumah dalam The Housekeeper and the Professor. Segala hal dituturkan berkait dengan angka, formula dan teori matematik, walaupun dengan seorang pembantu rumah dan anak lelakinya.

Keindahan matematik hanya boleh difahami mereka yang mencintai ilmu, menghayati resam kesarjanaan yang tinggi dan utuh. Itu sebabnya hampir semua tokoh ilmu sebelum bermula Revolusi Industri di Eropah adalah pakar dalam sesuatu bidang yang juga mempunyai pengetahuan matematik yang mendalam.

Dalam tradisi keilmuan Barat, Leonardo da Vinci, misalnya pakar matematik, sekali gus ahli falsafah dan pelukis ternama. Begitu juga dalam tradisi Islam menerusi Ibn Sina dan Alkhawarizmi. Hakikatnya matematik adalah asas ilmu untuk membolehkan kita berfikir secara logik, teratur dan bersistem.

Selepas mengikuti pengajian wajib selama 11 tahun di sekolah, seluruh warga Malaysia seharusnya sudah mampu mengira dengan betul, memahami pelbagai teori asas matematik, biarpun tidak sampai ke tahap si pembantu rumah dalam karya Ogawa itu dengan teori angka dan teori terakhir Ferment. Sekurang-kurangnya kita wajib memahami bahawa 28 ialah nombor sempurna!

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

No comments:

Post a Comment