Translate

Monday 20 May 2013

Matematik bukan subjek hafalan

SEBAGAI ahli akademik, saya hairan dengan sikap segelintir pelajar khususnya di sekolah menengah yang gemar membaca buku Matematik seolah-olah membaca buku Bahasa Melayu atau novel. Matematik bukan mata pelajaran untuk dibaca apatah lagi dihafal. Banyak kesan negatif yang timbul hasil hafalan terhadap konsep tertentu dalam Matematik.

Saya percaya apabila terlalu banyak formula atau rumus tertentu dalam Matematik dihafal tanpa pemahaman, pelajar sukar menjawab ujian atau peperiksaan. Pelajar akan ‘mengeluarkan’ segala yang dihafal dan apabila terlalu banyak formula atau rumus dihafal tanpa pemahaman, pelajar keliru untuk mengaplikasikan formula tertentu dalam sesuatu soalan Matematik.
Jika dapat menjawab soalan Matematik sekalipun, mereka terus beranggapan belajar Matematik hanya untuk lulus peperiksaan.


Pelajar yang ‘membaca’ Matematik tidak dapat meningkatkan kemahiran berfikir. Ini dibuktikan dalam bidang geometri umpamanya dengan tahap pemikiran pelajar boleh diukur menggunakan pemikiran van Hiele yang terdiri daripada lima tahap.

Kajian menunjukkan budaya menghafal dalam Matematik khususnya topik yang berkaitan dengan geometri hanya membantu pelajar mencapai tahap satu atau dua dalam model berkenaan.

Jadi adakah matlamat kurikulum Matematik sekolah menengah iaitu untuk melahirkan individu yang berupaya untuk berfikir secara Matematik tercapai? Matematik ialah subjek yang indah untuk diterokai. Namun amalan pembelajaran Matematik menjadikan ia ditakuti sebilangan pelajar.

Justeru, amalan pembelajaran pada hari ini perlu dipelbagaikan agar pelajar dapat merasai keindahan Matematik. Banyak strategi pembelajaran boleh diaplikasikan. Tambahan pula, banyak teknologi pendidikan dan alat bantu mengajar boleh digunakan untuk membantu pembelajaran Matematik.
Mungkin guru berpendapat kekangan masa ialah faktor utama mengapa strategi pembelajaran tidak dipelbagaikan dan alat bantu mengajar yang dibekalkan kementerian tidak dimanfaatkan. Justeru, rancangan kementerian untuk memansuhkan peperiksaan utama terutama peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang sedikit masa dulu diperkatakan, dilaksanakan bagi memastikan masa pembelajaran pelajar khususnya Matematik lebih berkualiti dan sentimen belajar Matematik hanya untuk lulus dalam peperiksaan dapat dihapuskan.

ABDUL HALIM ABDULLAH,
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment